Kalau kita menangis hari-hari pun tak guna kan? Kalau aku menangis air mata darah sekalipun, tak akan mengundur masa kan? Jadi, aku cuba mem-positifkan diri aku daripada berfikiran yang pelik-pelik. Aku cuba bangkit walaupun susah. Aku tahu aku ada Allah untuk membantu. Mungkin sedikit sebanyak aku boleh cerita apa sebenarnya yang mengganggu emosiku sejak dua hari ini.
Jam sudah menunjukkan pukul 1.05 tengahari kalau tak silap masa itu. Masa itu, memang kelas sebelah dan beberapa orang dari kelas aku sudah berpusu-pusu untuk balik. Kalau diikutkan, memang sudah selesai waktu sekolah cuma belum lagi doa dibacakan. Kalau dah kelihatan mereka semua pergi, kami pun menusun langkah untuk pulang ke rumah. Semasa berjalan, kami terus berhenti semasa doa dibacakan, di belakang bilik pengawas. Cuma sebahagian bacaan doa sahaja yang kedengaran. Jadi kami pun terpinga-pinga laa kenapa tak dengar kan. Jadi semasa ingin memulakan langkah berjalan lagi tiba-tiba langkahku terhenti disebabkan sekatan oleh PK HEM. Memang cuak masa itu. Syafiyah dapat meloloskan diri.
Mula-mula memang rasa kecewa dengan tindakannya sedangkan kami berjalan sama. Tapi, kalau nak difikirkan dia memang patut pergi. Dia seorang pengawas dan mungkin akan dihentam lebih keras. PK HEM mula soal siasat tentang apa yang berlaku lagaknya seperti seorang pegawai polis yang sedang menyoal siasat seorang pendatang haram. Aku pun tak tahu, mengapa aku menjawab dengan penuh yakin. Mungkin ingin menyembunyikan rasa cuak. Aku mengaku memang 80% jawapan aku yang beri bukan Mariam mahupun Farahin. PK HEM menanyakan "Kenapa saya tak patut menghukum awak?", "Awak berjalan keluar dari kelas semasa doa dibacakan, logik tak apa yang saya cakap?", "Saya bukan apa, saya cuma menjalankan tugas, lagipun saya sudah menetengahkan isu ini di perhimpunan jadi esok saya akan mengambil tindakan yang tegas.", "Siapa guru akhir awak?". Persoalan guru terakhir itu membuat hati saya sekarang kacau-bilau.
Soalan lain memang aku akui dengan jujur. Aku cakap aku mengaku yang aku memang masih berjalan semasa doa dibacakan. Aku mengaku aku buat silap dan aku sanggup menerima hukuman kerana aku tahu aku yang salah. Persoalan guru tadi memang saya jawab pertanyaan tu. Dan aku tak sanggup membiarkan pertanyaan dibalas dengan muka kosong. Tidak logik kalau aku cakap aku tak tahu siapa cikgu yang mengajar aku fizik. Dan tidak logik juga kalau aku menipu sebab aku tahu, kalau aku menipu Allah tahu.
PK HEM bertentang mata dengan aku. Jaraknya diantara aku juga memang beberapa jengkal sahaja. Aku memang tak pernah bertentang mata dengan lelaki lama selama dengan PK HEM. Belakang aku pula sudahlah dinding. Seperti dihimpit. Aku memang bercakap jujur dan mungkin aku cuma menipu yang aku memberi alasan untuk ke tandas. Ye.. tapi lepas tu aku pergi ke tandas. Perbualan kami dengan PK HEM lebih kurang 20 minit. PK HEM juga sudah catit segala percakapan kami seperti seorang wartawan.
Sejak insiden itu, aku memang tak sangka yang Cikgu Fizikku hatinya disakiti. Sebab bagi aku, aku hanya menjawab dengan jujur. Lagipun, bukan dia seorang sahaja yang terkena, Farahin juga mengatakan bahawa Cikgu Salwa kelas sebelah juga mengizinkan anak muridnya balik semasa doa dibacakan. Dengan keadaan kelas kami yang tak berguru, kami hanya mengikut langkahnya. Dan, aku tidak tahu yang guruku itu tengah menaanda kertas kelas kami. Cikgu tak memberitahu kami mengapa dia tidak masuk ke kelas sebaliknya meninggalkan kelas yang bising begitu.
Tiba-tiba keesokan harinya, semasa perhimpunan, cikgu mencari kami dan cakap "Kenapa kamu balik awal semalam lepastu cakap dekan PK HEM saya tak masuk kelas? Awak tahu tak saya tengah menanda kertas awak! Nanti kalau kertas tak bertanda marah! Lantak awaklah kalau dapat kertas tiga minggu lagi!". Aku memang begitu tersentak cikgu begitu marah saya, Mariam dan Farahin. PK HEM pun sama. Sepatutnya dia tak patut menyatakan nama kami sebaliknya semua bukan salah kami sahaja malah satu kelas kami. Aku ingat lagi wajahnya yang begitu geram. Memang air mata mahu menitis tapi aku tahan.
Sejurus itu, Syafiyah datang kepadaku, dia meminta maaf atas kesalahannya meninggalkan kami. Dia juga mengaku salah dia kerana ajak kami balik sama semasa doa sedang dibacakan. Aku tak berasa terkilan dengan sikapnya. Aku cuma cakap nanti kita minta maaf dengan cikgu sama-sama. Dia pun akur. Hukuman tegas yang PK HEM sebut-sebutkan itu hanya ingin menakut-nakutkan kami. Tiada tindakan hanya nasihat ringkas yang diberikan. Aku pun tak kisah kalau disebat sekalipun. Kerana, masalahnya sekarang aku telah sakiti seorang guru. Aku memang tak percaya. Selama ini aku sangat menjaga pergaulanku dengan guru. Kalau boleh selembut-lembutnya aku bercakap dengan guru.
Saya, Syafiyah, Farahin dan Mariam mengatur langkah ke bilik SPBT, ruangan Cikgu Fabilah. Kita orang masuk sama-sama. Sejurus kami mengatakan maaf dan ingin menjelaskan apa yang berlaku, Cikgu terus menghalau kami supaya masuk ke kelas dan tak hingin mendengar apa yang kami ingin jelaskan. Cikgu juga mengatakan dia yang salah. Aku masih menegaskan diriku supaya bersuara. Rupa-rupaya cikgu menyuruh kami pergi dan kalau tidak dia akan berang. Sejurus keluar dari bilik itu, aku pun menangis semahu-mahunya. Selama hidup aku, aku tak pernah dihentam begitu. Itulah air mata pertamaku sejak aku di sekolah itu.
Selepas itu yang aku terima, aku berfikir untuk berjumpa kaunselor bagi menenangkan insiden tegang ini. Tapi, selepas itu, kami terus masuk ke surau untuk mengikuti kelas Agama. aku masih lagi teresak-esak masuk ke surau tapi dilindungi oleh beberapa sahabatku. Alhamdulillah, mereka tidak lekang memberi kata sokongan dan dorongan. Habis kelas agama, kami kemukakan masalah ini kepada ustazah. Ustazah mula menyuarakan pendapat. Aku akan cuba sedaya upaya pendapat itu. Tunggu sehingga cikgu reda sedikit, lepas tu cuba minta maaf lagi. Jika keadaan sama, cuba masa nak SPM nanti.
Kalau nak kata reaksi kelas, aku rasa memang nama aku yang selama ini tak penah disebut sudah pun menjadi buah mulut orang. Aku masih merasakan, dalam kesedihan yang aku alami, mungkin ada yang sedang ketawa melihat keadaan aku yang sebelum ini langsung tiada masalah lagi-lagi dengan guru. Apa boleh buat? Mulut orang siapa yang boleh tutup?
Selama masalah ini berlaku, hanya aku yang menangis terhinjut-hinjut. Syafiyah masih boleh mengawal air matanya. Farahin dan Mariam hanya menunjukkan tanda-tanda air mata yang ingin menitis. Apa boleh aku buat nasi telah menjadi bubur. Hanya Allah dapat melembutkan hati cikgu itu. Moga-moga maafku diterima. Ameen.
No comments:
Post a Comment